Pernikahan mualaf Orang Asli catat sejarah
3:25 PTG | Author: Mohamad Sabhi Bin Mohamad Misran


SAH bergelar suami isteri... Sembilan pasangan mualaf Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan beramai-ramai di Perkampungan Orang Asli, Ulu Kuang, Selangor.

SURAU al-Hidayah di perkampungan Orang Asli Ulu Kuang, Gombak Barat, Selangor tidak ada apa yang istimewa. Rutinnya sama seperti surau atau masjid di daerah Selangor yang lain. Apatah lagi, umat Islam di perkampungan itu hanya seramai 156 orang daripada 363 jumlah penduduknya.
Pun begitu, surau ini tidaklah seperti hidup segan mati tak mahu. Kemudahan asasnya lengkap, bersih dan sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan majlis ilmu. Setiap hari pasti berkumandang laungan azan dan solat berjemaah. Pada sebelah petangnya pula diadakan kelas agama dan sekali sekala dianjurkan perayaan hari-hari kebesaran umat Islam.
Namun suasana ketenangan ini berubah sedikit sewaktu berlangsungnya majlis pernikahan dan perkahwinan beramai-ramai sembilan pasangan mualaf Orang Asli dari daerah Gombak Barat dan Gombak Timur, 5 Mei lalu.

Apa tidaknya, pelbagai gelagat melucukan. Ada yang hendak menikahkan tok kadi, menjawab sahutan tok kadi dengan bahasa Inggeris dan terpaksa ditenangkan selepas berkali-kali melafazkan ijab kabul. Semuanya menimbulkan suasana gamat dan riuh rendah dengan gelak ketawa para tetamu pada majlis penuh bersejarah, khasnya kepada pasangan mempelai.
Malah penulis dimaklumkan oleh juru nikah yang juga Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli, majlis tersebut merupakan satu sejarah baru.

Ini kerana, kata beliau, sebelum ini majlis sama pernah dilangsungkan di kampung tersebut iaitu pada 1996. Bezanya pada masa itu hanya empat pasangan mualaf Orang Asli daerah Gombak diraikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berbanding kali ini.

Pada majlis anjuran bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak Barat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) ini menyaksikan kesemua pasangan raja sehari tampil segak bergaya dengan baju Melayu lengkap bersamping warna senada. Permaisuri hati pula, cantik berseri berkebaya apatah lagi dipadankan dengan selendang sarat berlabuci warna sedondon.

Pengantin perempuan yang didandan rapi oleh mak andam amatur dibawa memasuki ruang solat surau. Pengantin lelaki pula menunggu penuh debar dan seronok.

Pastinya, inilah saat yang paling bermakna dalam lipatan sejarah hidup manusia iaitu peralihan zaman bujang ke berumah tangga apatah lagi, ia adalah pengalaman pertama kepada semua pasangan pengantin yang diraikan hari itu.

Pasangan termuda, Muhammad Rizuan Abdullah, 20, dan Julia Abdullah, 17, melangkah seiring di hadapan tok kadi dan para saksi tampak cantik berbaju warna merah samar.
Raut wajah pengantin lelaki jelas kelihatan garis-garis gementar dan kerisauan sungguhpun pengalaman pertama tersebut dikongsi bersama lapan lagi pasangan.

Tiba-tiba dewan solat surau riuh rendah dengan gelak ketawa para saksi dan hadirin. Muhammad Rizuan pagi itu telah menikahkan juru nikah majlis bukannya dia yang sepatutnya diijab kabulkan. Apa tidaknya, selesai tok kadi mengenjutkan tangan Muhammad Rizuan dengan selamba melafazkan, “Aku nikahkan dikau...” sebagaimana arahan tok kadi sebelum itu, “Kamu ikut seperti saya.”
Setelah diterangkan barulah difahami dan semua saksi mengesahkan lafaz nikah selepas tiga kali ulangan.

Penulis berkesempatan mendapatkan reaksi pasangan paling muda ini pada akhir majlis. Beliau yang baru tiga bulan memeluk Islam dan selesai mengikuti kursus perkahwinan pada April lalu berkata, lidahnya tersasul dan ikut bagaimana yang disuruh tok kadi.
“Tidak sangka pula perbuatan saya itu benar-benar menimbulkan kelucuan orang ramai. Mulanya saya rasa malu tetapi nak buat macam mana, dah terlepas kata-kata malah tidak terniat di hati saya untuk mempersendakan hukum agama.

“Buat masa ini belum ada perancangan besar yang hendak dibuat. Cuma ini langkah awal kami untuk meneruskan kehidupan dalam suasana Islam. Perasaan seronok dan gementar semuanya ada pada hari ini tapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” kata Muhammad Rizuan sambil dijeling isteri tercinta, Julia.
Celah Julia, mereka berkenalan sejak di bangku sekolah. Setelah melihat ada keserasian dengan suami dan masing-masing mempunyai arah tujuan kehidupan yang seiring, mereka yakin untuk meneruskan hasrat memeluk Islam dan berkahwin.
“Kalau ada rezeki, saya mahu empat cahaya mata,” akui Julia dengan nada manja.
Sementara itu, salah seorang pasangan yang turut diraikan Mohd. Farid Abdullah, 37, dan isterinya, Fatimah Tahir, 29, yang telah dikurniakan lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

“Saya sebenarnya telah memeluk Islam sejak bujang iaitu pada 1995 tetapi kerana ketiadaan bimbingan, jadi kami berkahwin secara adat Orang Asli dengan isteri yang ada sekarang. Lebih-lebih lagi, pada waktu itu saya masih merahsiakan pengislaman diri,” jelasnya.
Alhamdulillah, kata Mohd. Farid, selepas dinasihatkan oleh beberapa pihak dan mempelajari ilmu agama beliau semakin faham dan kini masih meneruskan kelas pengajian di PAID Gombak Barat (cawangan Kuang).

“Selain itu, mereka juga membantu saya memujuk isteri agar turut sama memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Kini, kelima-lima anak-anak kami telah diIslamkan.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang menganjurkan majlis serba sederhana tetapi meriah ini. Alhamdulillah kemesraan yang terhasil ini bakal menarik minat Orang Asli yang belum lagi memeluk Islam untuk menjadi satu petunjuk hidayah,” kata Mohd. Farid yang segak berbaju jingga.

Pada majlis yang sama juga turut diraikan dua pasangan Melayu yang berkahwin dengan wanita Orang Asli. Mereka ialah pasangan Mohd. Al-Akkiri Borhan, 28, dengan Juliza Abdullah, 23, serta Mohd. Hanif Tumon, 24, dengan Nur Alia Amirah Mohd. Hafiz, 22.
Pasangan lain yang turut diraikan ialah Mustafa Abdullah dengan Hanum Abdullah, Muhammad Ramli Abdullah dengan Aslinda Abdul Rahim, Mohd. Azlan Abdullah dengan Aishah Abdullah dan Muhammad Ela Abdullah dengan Rosmawati Abdullah.
Perasmian majlis perkahwinan beramai-ramai itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan 13, Kuang, Soohaimi Abd. Rahman. Ia dihadiri lebih 1,000 jemputan pelbagai bangsa.
|
This entry was posted on 3:25 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.